image

Generasi LED - Sebuah kisah benar

Salam hormat..

LED... apa tuuu? Soalannya nampak low minded aja. Nak mengaku tak tahu, rasa tak sesuai aja. Rasa-rasa selalu dengar, tapi kat mane..? LED, apa bendanya ya?

Kisah seorang member menghadiri seminar Teknologi Hijau peringkat antarabangsa di Jepun menjawab pertanyaan itu. Sedang seminar berhenti rehat setelah slot berkaitan LED dipersembahkan, tiga orang wanita Malaysia merapati beliau dan berkenal-kenalan macam biasa la. Ceritanya, mereka yang bergaya eksekutif ini mewakili agensi besar di Malaysia untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang sedang hangat di war-war sekarang.

Sebelum mengakhir bicara, seorang daripadanya meminta izin untuk bertanya sesuatu. Member pun menyambung pertanyaan "Apa dia..?". Perlahan wanita ini bertanya "Apa itu LED?". Nak tumbang member dengar soalan tuu. Ya la, sesebuah agensi bermodalkan ribuan ringgit untuk pegawainya menimba ilmu di luar negara dengan harapan supaya sesuatu dasar yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut acuannya bila kembali ke Malaysia. Tetapi, bila yang hadir seminar mereka yang seperti ini..bayangkan aja la apa yang berlaku seterusnya!

Kesimpulanya, tidak salah kita yang manusia biasa ini tidak tahu apa itu LED? Yang salahnya, kita pura-pura tahu dan tidak mahu bertanya apa yang kita tidak ketahui. Pepatah ada berkata "Malu bertanya sesat jalan".

Biar wikipedia bebas terangkan, jom baca :

Dimulakan

LED adalah ringkasan daripada "Light-Emitting Diode" dan dalam bahasa Malaysia leh la dipanggil  diod pemancar cahaya.  LED merupakan sejenis diod semikonduktor yang menghasilkan cahaya tidak koheren berspektrum sempit apabila dikenakan voltan elektrik secara ke hadapan melalui simpang p-n. Prinsip tersebut dikenali sebagai elektroluminesasi. LED dikeluarkan dalam pelbagai jenis warna cahaya, bergantung kepada jenis semikonduktor yang digunakan.

Teknologi LED

Sebagaimana diod biasa, LED terdiri daripada cip semikonduktor yang didopkan untuk menghasilkan semikonduktor jenis positif atau negatif. Kedua-dua semikonduktor positif dan negatif dicantumkan bagi membentuk satu simpang p-n. Arus elektrik bergerak dari bahagian p, atau anod, ke bahagian n, atau katod. Pembawa cas - elektron dan lubang - mengalir ke simpang dari elektrod dengan voltan berbeza. Apabila elektron bertemu dengan lubang, ia akan jatuh ke tahap tenaga lebih rendah, dan melepaskan tenaga dalam bentuk foton. Panjang gelombang cahaya dipancarkan, dan dengan itu warnanya, bergantung kepada jurang jalur tenaga bagi bahan yang digunakan yang membentuk simpang p-n. Di dalam diod silikon dan germanium, elektron dan lubang bergabung semula oleh transisi bukan radiatif yang tidak menghasilkan sebarang keluaran optikal. Bahan yang digunakan di dalam LED mempunyai jurang jalur terus dengan tahap tenaga menghasilkan gelombang inframerah, cahaya tampak, ataupun gelombang ultraungu.

Bahan LED

Pada awalnya, LED dibuat menggunakan semikonduktor galium arsenida, tetapi kemajuan sains dan teknologi membolehkan LED dibuat bagi menghasilkan panjang gelombang cahaya yang lebih pendek, membolehkan pelbagai warna LED yang lain dihasilkan. Dengan pelbagai warna yang boleh dihasilkan, pelbagai tatasusunan warna LED boleh dihasilkan untuk menghasilkan warna bukan konvensional.

Kekutuban

Tidak seperti lampu pijar yang boleh disambungkan tidak mengira kekutuban untuk berfungsi, LED hanya boleh menyala jika disambung mengikut kekutuban yang betul. Jika disambung dengan kekutuban yang salah, arus yang sangat sedikit dapat mengalir, menyebabkan tiada cahaya terhasil. Sesetengah LED boleh menyala jika disambungkan pada arus ulang-alik (AC), tetapi ia hanya akan menyala semasa voltan positif, menyebabkan LED berkelip mengikut frekuensi bekalan AC

Kelebihan LED

  • LED menghasilkan lebih cahaya bagi setiap watt berbanding lampu pijar.
  • LED boleh menghasilkan warna tertentu tanpa memerlukan sebarang penapis cahaya seperti yang digunakan pada lampu tradisional, sekaligus menjimatkan kos.
  • Pembungkusan pepejal LED boleh direka bagi menumpukan cahayanya.
  • Bila dimalapkan, warna LED boleh dikekalkan, tidak seperti lampu kalimantang yang akan berubah warnanya kepada kekuningan apabila voltan dikurangkan.
  • LED sesuai digunakan bagi aplikasi dengan kitar hidup-padam yang tinggi seperti lampu brek, tidak seperti lampu pijar yang mempunyai kitar hidup-padam yang lebih pendek.
  • Sebagai komponen keadaan pepejal, LED sukar dirosakkan akibat hentakan mekanikal.
  • LED mempunyai jangka hayat yang sangat panjang, sehingga antara 100,000-1,000,000 jam penggunaan.
  • LED akan gagal dengan menjadi malap mengikut masa, tidak seperti lampu pijar yang boleh terbakar secara tiba-tiba.
  • LED menyala dengan kadar yang pantas, iaitu beberapa mikrosaat bagi LED merah.
  • LED adalah kecil dan boleh dimuatkan pada papan litar bercetak.
  • LED tidak mengandungi raksa sebagaimana lampu kalimantang.
Dah kenal, moga-moga ada rasa cinta. Bukan apa, generasi sekarang sebenarnya wajib tahu dan perlu sedar mengenai kepentingan LED kerana ia akan memainkan peranan penting dalam dasar Tenaga Hijau negara dan kita semua adalah generasinya.

Seketika berhenti, semoga Anda seronok menjadi Generasi LED.


 

PENAFIAN

PakTeh adalah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat yang diperolehi dari dalam laman ini.